KUANTAN 14 Sept. - Lebih 500 terdiri daripada intelek, pegawai kerajaan, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar institut pengajian tinggi dan orang perseorangan dijangka menyertai Seminar Jejak Warisan Pahang anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) selama dua hari bermula 24 September ini.
Menurut pengerusi program itu, Prof. Madya Dr. Normah Othman, seminar itu turut mendapat kerjasama Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dan kerajaan negeri sempena sambutan Hari Keputeraan ke-80 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober ini.
Katanya, baginda berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian itu pada 25 September ini dan dijangka dihadiri lebih 4,000 penduduk negeri ini.
"Penganjuran seminar itu adalah inisiatif UMP dan kerajaan negeri dalam memberi pendedahan kepada orang ramai mengenali warisan, sejarah kesultanan, ketokohan dan kebudayaan Pahang.
"Program itu adalah salah satu acara yang dirancang sempena meraikan Hari Keputeraan Sultan Pahang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Normah berkata, turut diadakan ialah pameran hasil usaha Mubarak mempamerkan petikan berita akhbar dan penulisan sejarah, peninggalan sejarah dari Muzium Negeri Pahang dan lukisan bertemakan sejarah serta tokoh bangsawan Pahang.
Tambahnya, forum sejarah yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim pula akan membincangkan perkembangan sejarah menjejaki warisan Pahang serta mengetengahkan kepentingan sejarah dalam pembangunan kecemerlangan masa depan negara.
Jelasnya, para pembentang terdiri daripada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang, Orang Kaya Indera Pahlawan, Datuk Seri Wan Abdul Wahit Wan Hassan yang akan membincangkan mengenai sejarah keturunan raja dan pemerintah Pahang.
"Rektor Aswara, Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa akan membincangkan mengenai Sejarah dan Kebudayaan Pahang dan Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Profesor Dr. Zainal Kling akan membentangkan kertas kerja mengenai Ketokohan Pemimpin Pahang dan Sumbangan ke Arah Pembangunan Negara," katanya.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Yang Dipertua Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman dijadualkan hadir pada program itu.
Katanya, UMP mengalu-alukan orang ramai terutamanya anak-anak Pahang mengambil peluang mengenali tokoh sejarah serta warisan di negeri ini.
Sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman web UMP di http://www.ump.edu.my atau menghubungi Normah Othman di talian 012-2138056 dan Saharuddin Ramli (019-9667834).
Sumber: Utusan Malaysia
No Response to "UMP anjur Seminar Jejak Warisan Pahang - Utusan"